KESEDAR Peruntuk Hampir RM50,000 Untuk 29 Masjid Dan 47 Madrasah Di Kawasan Wilayah Gua Musang Sempena Ramadan

Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (KESEDAR) memperuntukkan hampir RM50,000 bagi sumbangan Program Ihya’ Ramadan kepada 29 masjid dan 47 madrasah di kawasan Wilayah Gua Musang pada Ramadan kali ini.

Sumbangan ini adalah salah satu usaha KESEDAR dalam membantu pihak pengurusan masjid dan madrasah bagi meneruskan aktiviti-aktiviti keagamaan seperti ceramah agama, pengajian kitab, tadarus dan forum perdana sepanjang bulan Ramadan.

Ia bertujuan untuk membangunkan minda, mencorak sikap, mendidik jiwa serta merubah cara hidup masyarakat dengan mendalami serta memperkembangkan pengetahuan ilmu agama melalui program-program keagamaan yang dianjurkan.

Majlis Penyampaian Sumbangan Ihya’ Ramadan Wilayah Gua Musang di bawah Program Rehabilitasi Komuniti KESEDAR diadakan di Dewan Dato’ Ariffin Said, Ibu Pejabat KESEDAR.

Majlis berkenaan dirasmikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas, YB Tuan Haji Mohd Syahbuddin Hashim.

Turut hadir, Adun Nenggiri yang juga Ahli Lembaga Pengarah (ALP) KESEDAR, YB Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani dan Pengurus Besar KESEDAR, Tuan Haji W Muhd Rahimi Wan Salleh.

Diharapkan agar sumbangan ini mampu memberi impak dan manfaat kepada penduduk setempat dan kumpulan sasar sepanjang bulan yang penuh berkah ini.

Selamat Menyambut Bulan Ramadan.